Aplikasi tenunan Brunei dilancarkan

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani \ Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

TUNGKU LINK, Rabu, 17 April. - Aplikasi 'Reka Bentuk Kain Tenunan Kitani' dihasrat untuk membukakan peluang kepada masyarakat yang berminat untuk mereka-bentuk kain tenunan hasil daripada kreativiti mereka sendiri berdasarkan cita rasa masing-masing.

Aplikasi tersebut juga bertujuan untuk memberikan kemudahan kepada masyarakat lebih mengenali dan mengakses maklumat berkenaan motif-motif tenunan Brunei dengan cepat.

Sehubungan itu, Majlis Pelancaran Aplikasi 'Reka Bentuk Kain Tenunan Kitani' yang berlangsung di bangunan Akademi Pengajian Brunei (APB), Universiti Brunei Darussalam (UBD) di sini disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (Innovation and Enterprise), Profesor Madya Dr. Mohd Ayub Sadiq.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap Kebudayaan, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah yang juga selaku penyelia projek; Pemangku Pengarah APB, Dr. Haji Tassim bin Haji Abu Bakar; Penyelaras Projek, Abdul Hai bin Julay, pensyarah-pensyarah dan mahasiswa mahasiswi dari APB.

Aplikasi Reka Bentuk Kain Tenunan Kitani adalah di bawah Projek Pelestarian Motif Tenunan Brunei yang diperkenalkan oleh sekumpulan mahasiswi tahun akhir dari APB, UBD iaitu Dayang Hajah Nurzahidahtul Hikmah binti Haji Seribini, Dayangku Nurul Faten Nazurah binti Pengiran Zul Amli dan Dayang Noramalina binti Zulkefli melalui projek tahun akhir mereka.

Sementara itu, Dayang Hajah Nurzahidahtul Hikmah dalam ucapannya menjelaskan, aplikasi itu merupakan inisiatif daripada pelajar untuk memberikan penginovasian dan menaikkan taraf industri kain tenunan Brunei.

Menurutnya, aplikasi tersebut juga bertujuan memberikan informasi yang cepat dan mudah kepada masyarakat untuk mengenali motif tenunan Brunei serta menggalakkan masyarakat yang berminat bagi mereka-bentuk kain tenunan sendiri.

Di dalam aplikasi ini, mahasiswi telah mendokumentasikan motif-motif tenunan Brunei secara digital bersumberkan daripada lima agensi yang telah lama bergiat dalam Industri Tenunan di negara ini.

''Searus dengan era yang semakin moden, masyarakat pada masa kini kurang mengambil endah dan kurang mengenali motif-motif yang telah dihasilkan oleh masyarakat tempatan kitani. Serta dapat dilihat kita kekurangan pereka-pereka yang dapat menghasilkan banyak lagi reka bentuk motif kain tenunan yang lebih menarik, tetapi tidak semestinya kita melupakan motif-motif tradisi kitani,'' ujarnya.

Sehubungan itu tambahnya, dengan adanya aplikasi seperti ini diharap dapat memberikan pengetahuan dan inisiatif untuk melahirkan belia-belia yang kreatif dan berdaya saing yang dapat mengeluarkan dan mereka-bentuk motif-motif kain tenunan yang pelbagai.

Menurutnya, aplikasi seumpama ini mampu memberikan pendokumentasian yang teratur bagi motif-motif tenunan Brunei serta mengekalkan warisan Brunei dan dengan ini, masyarakat lebih terdedah dengan reka bentuk kain tenunan Brunei.

Projek tahun akhir para mahasiswi ini dihasilkan sebagai menyahut seruan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Majlis Mesyuarat Negara yang ke-15, pada 7 Mac 2019 lalu seperti berikut.

''Ini sesuai dengan kepesatan teknologi yang membawa perubahan besar dalam kehidupan, termasuk kemajuan industri digital yang memfokus kepada 'internet of things, artificial intelligence' dan seumpamanya di mana Fourth Industrial Revolution akan menjadi salah satu agenda utama dalam memperkasa masyarakat, khasnya masyarakat penuntut, peniaga dan pihak kerajaan sendiri termasuk akan mengubah landskap kehidupan seharian.''

Dengan adanya aplikasi ini, diharap ia akan dapat merealisasikan hasrat Kebawah DYMM untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara yang semakin bergerak maju ke arah teknologi yang inovatif dalam 'internet of things artificial intelligence'.

Diharap juga aplikasi ini akan dapat meningkatkan kecekapan tenaga kerja dan mengurangkan kebimbangan yang mungkin timbul daripada pengangguran, kerana aplikasi ini mampu mewujudkan pasaran dan peluang baharu dalam bidang keusahawanan.

Oleh itu, kerjasama pihak kerajaan dan swasta adalah sangat penting dalam memastikan kemahiran dan inisiatif yang dapat diperoleh dari faedah penggunaan platform teknologi digital untuk memenuhi keperluan industri semasa, lebih-lebih lagi industri tenunan di negara ini.

Untuk mencipta aplikasi ini, mahasiswi telah mengumpulkan motif-motif tradisi dan juga moden yang dicipta oleh penenun tempatan dan pereka bentuk motif kain tenunan, terutama sekali penenun yang sudah lama berkecimpung dalam industri tenunan dan banyak mengetahui tentang motif-motif tenunan tradisi Brunei, termasuklah pereka bentuk muda yang telah menghasilkan motif-motif moden dan juga menginovasikan motif-motif tradisi.

Selain itu, aplikasi ini juga akan dapat dijadikan sebagai pangkalan data bagi mendokumentasikan dan mengekalkan warisan motif tenunan Brunei.

Dengan adanya aplikasi seumpama ini, pihak penganjur berharap projek ini mampu menarik minat belia-belia di negara ini untuk menceburkan diri dalam sama-sama mempertahankan motif tenunan dan menghasilkan lebih banyak motif atau corak kain tenunan negara ini.

Projek ini juga telah mendapat sokongan Bank Islam Brunei Darussalam, Ideal Food Industries (B) Sdn. Bhd., D'Sunlit Sdn. Bhd., dan Ya Nur Restaurant & Catering.

Aplikasi berkenaan bolehlah dimuat turun melalui laman sesawang Google Play bagi pengguna Android dan Appstore bagi pengguna iOS.

Sumber: Pelita Brunei

 

 

Print Friendly

 

 

RELATED NEWS

 

[advps-slideshow optset="1"]