Hayati Aidiladha, ambil iktibar peristiwa Nabi Ibrahim

Oleh:  Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim Foto : Hernie Suliana Haji Othman

 

TUNGKU LINK, Selasa, 13 September. - Universiti Brunei Darussalam (UBD) mengadakan Majlis Ibadah Korban dan Akikah yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Bangunan Hal Ehwal Pelajar UBD.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Naib Canselor UBD, Datin Dr. Dayang Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz.

Majlis tersebut bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Takbir Hari Raya Aidiladha yang dipimpin oleh Dekan Pelajar UBD, Awang Saidai bin Haji Hitam, selaku Pengerusi Majlis berkenaan.

130916 UBD HERNIE-2

MAJLIS Ibadah Korban dan Akikah UBD dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Dekan Pelajar UBD, Awang Saidai bin Haji Hitam, selaku Pengerusi Majlis.

Sejurus selepas itu, Awang Saidai memberikan ucapan alu-aluan yang antara lain menjelaskan, majlis yang dianjurkan itu disertai oleh seramai 30 orang dan sebanyak empat ekor kerbau dan dua ekor kambing dikorbankan untuk diagihkan dagingnya kepada mereka yang berhak menerimanya.

Beliau seterusnya menambah, tujuan majlis tersebut diadakan bagi menghayati Aidiladha dengan lebih mendalam, mendedahkan kepada warga universiti tentang Hari-hari Kebesaran Islam dan mengambil iktibar dari peristiwa kisah Nabi Ibrahim Alaihissalam dalam erti sebenar korban.

''Pengorbanan yang perlu dilakukan oleh seorang Muslim mencakupi pelbagai perkara, iaitu pengorbanan harta, kepentingan peribadi dan jiwa. Pengorbanan tersebut adalah semata-mata untuk meraih keredaan Allah dan menyumbang ke arah kejayaan agama Islam,'' ujarnya.

130916 UBD HERNIE-1

MAJLIS Ibadah Korban dan Akikah Universiti Brunei Darussalam diserikan dengan laungan Takbir Hari Raya Aidiladha diketuai oleh Awang Haji Mohd. Firdaus bin Orang Kaya Kaya Haji Nordin.

Majlis diteruskan dengan pengagihan daging korban dan akikah yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

Dalam kesempatan ini, Pelita Brunei sempat mewawancara salah seorang ahli jawatankuasa majlis berkenaan, Dayang Nur Arifah binti Roslee, 19, mahasiswi Fakulti Sains menjelaskan, antara lain tujuan majlis ini adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwah dalam kalangan warga UBD juga masyarakat luar kampus UBD.

Print Friendly, PDF & Email

 

 

RELATED NEWS