Mentor-Mentee Programme

PENGENALAN

Program Mentor-Mentee di Akademi Pengajian Brunei merupakan satu program sokongan di mana seorang staf akademik dilantik sebagai Mentor untuk membimbing dan membantu para pelajar dalam aspek akademik dan psikososial [1] yang boleh menjejaskan kehidupan mereka sebagai pelajar universiti. Program ini membudayakan akademik-sosial di mana ia bertujuan untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dan berwawasan. Program ini menyentuh tentang kecemerlangan akademik, kepentingan disiplin diri, keyakinan diri dan tingkah laku sosial dalam menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar di Universiti Brunei Darussalam.

Bagi mencapai matlamat penasihatan akademik tersebut, komitmen dan kerjasama daripada kedua-dua pihak, iaitu pelajar (mentee) dan juga penasihat akademik (mentor) adalah diperlukan. Hal ini termasuklah dalam memastikan pertemuan yang kerap serta berterusan antara pelajar dan penasihat akademik. Selain pertemuan kerap dengan mentor, pelajar juga dikehendaki untuk berhubung dengan pelajar-pelajar lain yang berada di dalam seliaan mentor yang sama. Pertemuan ini membolehkan pelajar untuk berkongsi masalah serta saling membantu antara satu sama lain. Pertemuan dalam situasi yang tidak formal dirasakan dapat mengeratkan hubungan silaturahim mentee dengan mentor.

 

MATLAMAT DAN OBJEKTIF:

Matlamat program ini adalah melahirkan pelajar yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji dan membentuk gaya hidup yang sihat. Berikut adalah objektif program:

  1. Melahirkan pelajar yang mampu menguruskan isu-isu psikososial dengan bijak dan berkesan serta bertanggungjawab terhadap akademik, berdisiplin dan mempunyai keperibadian yang baik.
  2. Memudahkan pemantauan perkembangan akademik para pelajar (mentee).
  3. Membantu dan membimbing para pelajar (mentee) mengesan potensi diri dan meningkatkan kemahiran insaniah bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam akademik mahupun kehidupan.
  4. Mewujudkan hubungan silaturahim dan hormat menghormati antara pelajar, pensyarah dan kakitangan universiti.

 

TANGGUNGJAWAB MENTOR

Tanggungjawab sebagai ahli akademik yang dilantik sebagai mentor, adalah seperti berikut:

  1. Mengenal pasti pelajar di bawah seliaan dan mengambil maklumat seperti nombor telefon, alamat keluarga, serta rekod perkembangan akademik.
  2. Perjumpaan dengan pelajar untuk berkenalan antara mentor dengan mentee.
  3. Membantu pelajar menyesuaikan diri, membimbing pelajar dalam menyelesaikan masalah akademik dan sosial, membantu pelajar mengenali diri dari segi minat, kebolehan dan halangan diri, membantu pelajar menentukan matlamat hidup mereka dengan menghubungkan minat, kemahiran, kebolehan dan nilai mereka dengan kerjaya dan pekerjaan yang sesuai, serta memberi bimbingan kepada setiap pelajar untuk membantu mereka berjaya dengan cemerlang.

 

TANGGUNGJAWAB MENTEE

Tanggungjawab pelajar sebagai mentee, adalah seperti berikut:

  1. Pertemuan kerap dengan mentor seperti yang dipersetujui.
  2. Perjumpaan pelajar dengan pelajar-pelajar lain yang berada di dalam seliaan mentor yang sama.

 

ETIKA DALAM HUBUNGAN PERMENTORAN

Program mentor-mentee sangat menekan usaha dan proses komunikasi untuk meningkatkan kemahiran generik pelajar. Untuk itu, terdapat etika permentoran yang mesti dipatuhi oleh mentor dan mentee. Antaranya ialah:

  1. Etika kerahsiaan - Program mentor-mentee melibatkan perbincangan tentang perkembangan kemahiran generic individu pelajar, oleh itu terdapat isu-isu peribadi yang mungkin timbul. Oleh itu, mentor perlu memahami etika kerahsiaan seperti menyimpan rahsia, dan tidak membincangkan isu-isu peribadi pelajar kecuali dengan pihak-pihak berkepentingan sahaja. Bagaimanapun terdapat situasi di mana mentor perlu menghubungi pihak berkepentingan seperti pegawai atasan universiti, Pengarah Akademi Pengajian Brunei, ibu bapa, dan penaja dalam melaporkan kes mentee apabila:
  • Tingkah laku mentee akan menimbulkan bahaya pada diri sendiri
  • Tingkah laku mentee akan menimbulkan bahaya pada orang lain
  • Tingkah laku mentee melanggar undang-undang negara dan universiti
  1. Hubungan professional – Mentor perlu mewujudkan hubungan professional dengan mentee. Ini bermakna, adalah tidak beretika jika mentor mewujudkan hubungan lain dengan mentee seperti hubungan cinta, perniagaan, pemberian sesuatu khidmat oleh mentee sebagai balasan kepada bimbingan yang diberikan oleh mentor. Mentor bertanggungjawab menentukan hala tuju hubungan ini dan tidak menggalakkan atau membenarkan mentee berinteraksi dengannya dalam cara yang tidak professional.

 

PENUTUP

Secara keseluruhannya, program ini diharap akan dapat menjadi satu titik tolak ke arah mengeratkan hubungan pensyarah, pelajar dan warga universiti. Usaha ini dapat mewujudkan perasaan kasih sayang, selesa, selamat dan sejahtera. Program ini secara langsung akan dapat meningkatkan kecemerlangan sahsiah diri pelajar seperti yang disasarkan oleh Universiti.

 

*[1] Istilah yang digunakan untuk menggambarkan hubungan antara keadaan sosial seseorang dengan kesihatan mental/emosionalnya.